Dulu dulu aku tak kisah pasal masalah perempuan ni. Cukup sekadar aku tau dia bersih. Kalau cerita pasal cecair yang keluar tu, bagi aku normal. Biasalah dia keluar pun bermusim. Seminggu keluar cecair merah, beberapa hari sebelum dan selepas tu ada basah sikit dan pertengahan bulan mesti akan basah juga kononnya perut sudah sedia untuk diisi. Tapi kalau perut tidak terisi, cecair merahlah yang akan keluar dan begitulah kitarannya untuk setiap bulan.
Dua bulan lepas aku terperasan cecair yang keluar adalah pelik. Tapi aku buat tak kisah sebab aku tidak terhidu bau ganjil. Masih lagi bau wangi panty-liner aku. Maka aku anggap itu masih normal. Lagipun aku tidak mengalami sebarang kegatalan, sakit pinggang ataupun sakit ketika buang air kecil. Mungkin sebab cuaca atau aku terlalu aktif atau penat menyebabkan cecair tu bertukar struktur dan warna.
Sehinggalah baru-baru ini, aku mengalamai sakit perut bahagian bawah. Sakit seperti kita menahan air kencing. Kebetulan beberapa hari sebelum itu aku memang menahan air kencing. Malas bangun dari katil untuk ke tandas yang kalau dikira, bukan jauh sangat pun tandas tu. Alasan, gelap dan mata berat. Jadi aku fikir itu lah puncanya aku sakit perut.
Seminggu kemudian, sakit tak juga hilang. Minum air banyak konon untuk lancarkan buang air yang sebelum ini aku fikir masalah sakit perut adalah disebabkan aku menahan air kencing. Tidak juga sakit itu hilang. Oh, datang pula fikiran lain yang mungkin sakit itu disebabkan usus aku. Sebabnya, asal aku buang air besar sakit tu bertambah sakit. Yang lagi merisaukan aku, cecair yang biasanya keluar bermusim tu adalah lekit sikit dan jernih, sekarang sudah jadi kehijauan dan amatlah cair. Lagi, keluarnya adalah setiap masa. Sampai satu tahap, sakit aku tak dapat tahan. Cecair keluar bukan lagi kehijauan tapi sudah jadi kelabu asap kehijauan. Mahu tidak mahu aku ke klinik juga.
Sampai klinik, aku cerita masalah aku. Doktor suruh baring dan periksa bahagian bawah perut aku. Lepastu doktor cadangkan aku buat Pap smear. Maka, hari tu lah buat pertama kalinya aku jalankan ujian Pap smear. Perasaan dia: amat pelik. Sejuk sejuk besi. Sedikit geli. Sakit pun ada juga. Tapi sedikit. Keputusan akan keluar seminggu kemudian. Sementara itu, doktor bagi antibiotik dan ubat tahan sakit
Syukur selepas makan antibiotik, cecair pelik tu hilang. Sakit perut pun hilang. Seminggu kemudian tu aku datang balik klinik untuk tahu keputusan Pap smear. Tiada apa, cuma apa orang putih cakap, inflammed saja. Tiada jangkitan yis, atau ketidak-normalan perkampungan bakteria di sana. Cumanya aku dapat sejenis ubat lagi untuk dimasukkan ke dalam sana. Huh, yang ini aku tak buat pun. Takut.
Kita sebagai perempuan kadang lupa untuk jaga bahagian sana tu. Aku dulu pun bukan kisah sangat. Lagi lagi waktu bujang. Sebabnya, untuk apa?? (^_^). Sekarang ni, bila sudah kena sakit tu baru mahu sedar. Nasib baik belum jadi benda yang lebih serius. Jadi, kawan kawan, walaupun kita rasa dia tu orang tak nampak (sebab perempuan mesti lebih pentingkan rupa dia kan..?) tidak semestinya kita abaikan kecantikannya.
0 comments:
Post a Comment